Ketua Pengarah LKTN Shamsudin Noor berkata, antara hasil produk kenaf ialah tilam berjenama Econaf yang dihasilkan secara kerjasama antara lembaga itu dengan Syarikat Coco Industry Sdn. Bhd. melalui syarikat E-Kenaf Sdn. Bhd.

Beliau berkata, Econaf adalah produk mesra alam yang diperbuat daripada gentian kenaf dan lateks semulajadi tidak dicampur dengan bahan kimia.

“Produk (tilam kenaf) ini mendapat permintaan di Korea Selatan dan kita mengeksport hampir 200 unit produk itu ke sana baru-baru ini.

“Insya-Allah untuk pengeksportan kali kedua akan menyusul dalam masa terdekat ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Katanya, Syarikat Coco Industry merupakan pakar dalam bidang pembuatan dan pengeluaran tilam sejak puluhan tahun lalu.

“Kepakaran dimiliki syarikat ini berupaya menghasilkan produk bermutu tinggi supaya mampu bersaing di pasaran global,” katanya.