Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan bergandingan dengan warga pendidik bagi mencapai hasrat tersebut dengan menjayakan Pro­gram Remaja Berwawasan (PRB) di sekolah-sekolah.

Menurutnya, PBR adalah program di bawah Strategi Laut Biru (NBOS) melibatkan PDRM, Ang­katan Tentera Malaysia (ATM) dan Kementerian Pendidikan.

Beliau berkata, pelatih terpilih dalam PBR akan dipupuk jati diri, pembentukan sahsiah dan kepemimpinan selain tidak mengabaikan kerohanian bagi mencapai amalan hidup seperti yang digarapkan oleh ajaran Islam.

“Latihan berasaskan modul ini dilaksanakan sebanyak dua kali sebulan melibatkan dua pegawai PDRM sebagai jurulatih dalam tempoh dua tahun.

“Selain PDRM, sebahagian sekolah pula akan dikendalikan pihak ATM,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran PRB di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Nipah, di sini semalam.

Yang turut hadir, Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Nik Aminuddin Raja Ali; Ketua Pe­gawai Pendidikan Daerah, Mohd. Faizul Yusof dna Penge­tua sekolah berkenaan, Mohd. Radzuan Zakaria.

Terdahulu dalam ucapannya, Hassanudin menasihatkan pelajar agar menjauhi amalan ketagihan dadah dan pil kuda kerana ketagihan sehingga merosakkan moral dan daya fikir seseorang itu hukumnya adalah haram di sisi Islam.

“Jangan musnahkan diri dan masa depan dengan perkara-per­kara yang diharamkan. Ja­ngan sekali-kali mencuba minuman keras dan melakukan se­suatu di luar batasan. Sesungguhnya perbuatan yang haram membawa cela dalam ketamadunan manusia,” katanya.

Hasanuddin berkata, pergaul­an yang melibatkan percintaan sesama pelajar termasuk cinta songsang kesan pengaruh budaya kuning dari Barat juga perlu di­sekat.

“Budaya kuning berkembang dengan mudah kerana maklumat kini hanya di hujung jari yang diselit dan disebarkan menerusi telefon pintar.

Kita tidak nafikan perkenalan pantas menerusi aplikasi sosial boleh membawa seseorang remaja terpedaya dan boleh menggadaikan maruah diri,” katanya.