MOHAMAD FATMI CHE SALLEH
MOHAMAD FATMI CHE SALLEH

Bandar ini terletak tidak jauh dari muara Sungai Kelantan dan juga menjadi pusat pentadbiran dan perniagaan negeri ini.

Mempunyai keluasan seluas 115.64 kilometer persegi de­ngan jumlah penduduk melebihi 300,000 orang. Parlimen Kota Bharu juga mempunyai tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Tanjong Mas, Kota Lama dan Bunut Payong.

Bilangan penduduk yang semakin hari semakin bertambah menyebabkan isu perumahan mampu milik masih menjadi bebanan buat penduduk di sini khususnya kepada golongan muda.

Sedar ataupun tidak Projek Perumahan Rakyat (PPR) Tan Sri Fatmi yang terletak di Jalan Kelochor, di sini merupakan satu-sa­tunya PPR yang dibina di kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk ini.

Walaupun Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu, Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh tewas semasa Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu, namun, beliau tetap melaksanakan projek berkenaan.

“Projek PPR ini asalnya merupakan janji saya semasa PRU-13 lalu. Waktu itu, saya berjanji sekiranya BN menang di Kota Bharu kita akan bina PPR ini. Namun, saya tetap meneruskan pembinaan itu walaupun berdepan pelbagai halangan dan rintangan,” jelasnya.

PPR Tan Sri Fatmi yang hampir siap keseluruhannya mengandu­ngi 20 tingkat dan 1,000 unit rumah. 
Projek yang bernilai RM190 juta itu akan dijual kepada golo­ngan berpendapatan RM3,000 ke ba­wah dengan nilai seunit rumah RM 35,000.

Ini bermakna, kerajaan bersedia menampung subsidi berjumlah RM150,000 dengan nilai harga sebuah rumah adalah RM190,000.

Justeru, PRU-14 ini merupakan medan tempur paling pen­ting buat penduduk Kota Bharu menilai kewibawaan calon yang benar-benar mengambil berat isu rakyat khususnya perumahan yang membelenggu sejak sekian lama.

Belum lagi dikira dengan isu harga sewa rumah yang melam­bung naik harganya sehingga menghimpit ‘dompet rakyat’ di kawasan ini.

Sesungguhnya, PPR Tan Sri Fatmi yang bakal didiami oleh 1,000 unit isi rumah merupakan sinar baharu buat penduduk Kota Bharu memulakan kehidupan yang lebih selesa.