Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah PPN ini, Datuk Abdul Aziz Derashid berkata, bantahan itu turut mendapat sokongan sepenuhnya dari 34 ahli Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di seluruh negeri ini.

Katanya, pindaan itu diputuskan menerusi Peraturan-Peraturan Pertubuhan Peladang (Pindaan) 2019 yang akan mula berkuat kuasa pada 1 Mei ini.

“Antara pindaan berkenaan adalah membenarkan pertambahan jawatan Ahli Jemaah Pengarah (AJP) yang boleh dilantik oleh Menteri, Datuk Salahuddin Ayub pada peringkat PPK, PPN dan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas).

“Saya lihat sekarang pihak kementerian dan kerajaan baharu ingin menganggu keharmonian ahli peladang yang telah dibina hampir 40 tahun dahulu dan ini menimbulkan ketidakpuasan hati lebih 80,000 peladang yang bernaung di bawah PPK,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mesyuarat khas bersama pengerusi-pengerusi PPK di Institut Pengurusan Peladang Panji, dekat sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi PPN Perak, Datuk Nadzri Ismail.

Dalam pada itu, Abdul Aziz berkata, pemindaan peraturan baharu itu juga telah memberi kesan dan tamparan kepada ahli peladang di seluruh negara yang hampir 1 juta orang.

Katanya, lebih jelas adalah mengenai pemilihan-pemilihan di peringkat kawasan PPN dan Nafas yang kini banyak dilantik oleh Menteri bukannya daripada ahli-ahli.

“Tindakan ini amat bercanggah dengan prinsip-prinsip demokrasi yang diamalkan oleh peladang-peladang selama ini.

“Saya amat dukacita ada campuran politik yang jelas bermotifkan hendak mengambil alih pertubuhan peladang di setiap negeri,” ujarnya.

Tambahnya, sepatut kerajaan sekarang memperkukuhkan lagi asas-asas demokrasi negara ini dan membiarkan PPN mengamalkan budaya demokrasi yang sebenar. - UTUSAN ONLINE