Dalam kejadian pukul 6 petang itu, suspek berusia lingkungan 35 dan 39 tahun ditahan ketika menaiki kereta jenis Honda Insight Hibrid oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Polis Bertam, Gua Musang yang melakukan sekatan jalan di situ.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasa­nuddin Hassan berkata, pe­meriksaan lanjut membawa kepada pe­nemuan 94 ketulan ganja mampat yang disimpan di but kenderaan terbabit.

Katanya, turut ditemukan satu botol plastik lutsinar berisi cecair hitam sebanyak 200 milimeter (ml) disyaki ubat batuk yang di­sembunyikan di bawah tempat penyimpanan barang bahagian depan kereta tersebut serta wang tunai RM4,600.

“Kita turut menemui dua plastik lutsinar berisi ketulan kristal disyaki dadah syabu di dalam poket seluar salah seorang suspek.

“Suspek mengaku mengambil bekalan dadah tersebut daripada seorang individu di pangkalan ha­ram Lubuk Gong, Rantau Panjang,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini hari ini.

Hasanuddin berkata, kereta yang dinaiki suspek didapati ber­kait dengan kes curi kenderaan di Pengkalan Chepa pada Jun 2016, selain menggunakan nombor pendaftaran palsu.

“Kedua-dua suspek yang tidak mempunyai pekerjaan tetap juga didapati positif dadah jenis Me­thaphentamine.

“Suspek berumur 35 tahun ju­ga mempuyai 10 rekod jenayah berkait kes dadah dan kes curi kenderaan di sekitar Ampang dan Jinjang, Selangor dan di Sentul, Kuala Lumpur,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan serta Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.