Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan berkata rampasan itu hasil penahanan dua lelaki masing-masing berusia 21 dan 31 tahun dalam sekatan jalan raya di Jalan Hamzah di sini, pada pukul 11.50 malam (Selasa lepas).


"Hasil pemeriksaan ke atas kereta yang dinaiki kedua-dua suspek berkenaan yang dari arah Tumpat ke pusat bandar telah menemui 10kg dadah dipercayai syabu yang dijumpai di dalam sebuah beg pakaian berkunci di bahagian belakang kenderaan dinaiki mereka.

"Pada masa sama salah seorang suspek telah merayu supaya mereka tidak ditahan dan menawarkan sogokan sebanyak RM21,000 secara tunai kepada pegawai yang bertugas," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, hari ini.

Susulan itu, Hasanuddin berkata susulan itu, pihaknya membuat siasatan awal terhadap kedua-dua suspek sebelum membawa salah seorang lelaki terbabit ke Kampung Merisa Wakaf King pada pukul 2 pagi (Rabu lepas).

Beliau berkata suspek telah membawa polis ke sebuah kereta yang diparkir di hadapan sebuah rumah sebelum anggota polis melakukan pemeriksaan di dalam kenderaan itu dan menemui satu plastik hitam di bahagian ruang bawah tempat duduk belakang berisi beberapa paket pil kuda dan syabu.

"Siasatan lanjut mendapati dadah berkenaan diperoleh daripada pengedar tempatan di sekitar Pasir Mas dan dipercayai akan diedarkan untuk pasaran sekitar Besut, Terengganu, Kota Bharu, Pasir Mas, Bachok dan Pasir Puteh," katanya.


Katanya kes akan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori dan kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bermula 5 hingga 11 Disember untuk siasatan lanjut.- BERNAMA