Pada masa sama, pintu gerbang yang dibina hasil cetusan idea bekas Menteri Besar, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat itu juga akan menjadi mercu tanda baharu khususnya bagi masyarakat Cina di daerah ini.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, pintu gerbang tersebut dibina oleh Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI) dengan kos sekitar RM600,000.

Menurutnya, idea pembinaannya tercetus ketika Nik Abdul Aziz merasmikan pesta tanglung di sini pada 2013 seterusnya direalisasikan.

“Pintu gerbang ini bersempena dengan nama Laksamana Cheng Ho iaitu seorang tokoh hebat terawal yang datang ke rantau ini dan dikagumi seluruh masyarakat.

“Saya sangat bersyukur dan gembira dengan kewujudan pintu gerbang ini. Saya harap komuniti Tionghua dan seluruh masyarakat pelbagai kaum dapat menikmati hidup dalam suasana aman dan damai di negeri ini.

“Saya juga berharap kerjasama seluruh masyarakat di Kota Bharu akan terus erat,” katanya ketika berucap merasmikan Pintu Gerbang Dataran Cheng Ho di sini, baru-baru ini.

Yang turut hadir ialah Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Ta­ki­yuddin Hassan; Pengerusi Ja­watankuasa Perindustrian, Perdagangan, Perpaduan Masyarakat dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Anuar Tan Abdullah dan Yang Dipertua MPKB-BRI, Datuk Zamri Ismail.

Pelbagai acara menarik diadakan seperti persembahan gendang Cina; orkestra muzik Cina; tarian naga dan banyak lagi yang dihadiri hampir 5,000 masyarakat pelbagai kaum.

Sementara itu, Ahmad berkata, keharmonian masyarakat pelbagai kaum di negeri ini pastinya akan dicontohi oleh negeri-negeri lain.

“Apabila kita hidup dalam keadaan aman, kedudukan eko­nomi juga berada dalam keadaan baik. Diharap keharmonian ini akan terus berkekalan,” katanya.