Presiden POKB, Datuk Sheikh Ahmad Dusuki Sheikh Mohamad berkata, program tersebut adalah bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kanser payudara yang diketahui umum sebagai pembunuh nombor satu wanita.

Beliau berkata, pihaknya menyasarkan penyertaan sebanyak 5,000 peserta dalam program itu yang juga bertujuan mengisi Tabung Kanser OKB.

“Kita bertuah kerana Tengku Puan Temenggong Kelantan, Tunku Datuk Noor Hayati Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj berkenan hadir untuk melancarkan program dan berjalan bersama pada hari tersebut.

“Kita tahu orang Kelantan ini lebih suka berubat dengan bomoh dan apabila keadaan sudah semakin buruk barulah mahu pergi hospital.

“Kalau ada kesedaran mengenai mendapatkan rawatan awal kanser sudah pastilah masih ada harapan untuk pesakit dan dalam masa dapat mengurangkan beban kerajaan akibat kos rawatan yang tinggi,” katanya dalam sidang akhbar Program Pink Walk Kaseh OKB Hospis BestARI 2017 di Maktab Sultan Ismail di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Bersama Jawatankuasa Induk Program Pink Walk Kaseh OKB Hospis BestARI 2017 yang juga Pakar Perunding Bedah Kanser Payudara dan Endokrin Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) Datuk Dr. Imi Sairi Ab. Hadi.

Program sempena Bulan Kesedaran Kanser itu akan turut disertai 100 pesakit kanser, pelajar sekolah dan universiti serta kakitangan daripada 30 agensi kerajaan. - UTUSAN ONLINE