MOHD. ANIS HUSSIN
MOHD. ANIS HUSSIN

Yang Dipertua MDPP, Mohd. Anis Hussin berkata, peniaga perlu akur terhadap arahan yang dikeluarkan itu kerana sewaan bagi tapak perniagaan di pasar lama telah dibatalkan dan sememangnya telah difahami oleh semua pihak.

Menurutnya, MDPP berhak merobohkan pasar lama pada bila-bila masa dan menganggap peniaga yang enggan berpindah turut menolak tawaran untuk menjalankan perniagaan di Pasar Siti Hajar yang kini sudah ber­operasi.

“Dakwaan kononnya sebuah agensi Kerajaan Persekutuan akan membeli tapak pasar lama itu adalah tidak benar kerana lokasi itu telah di­serah kepada syarikat pemaju iaitu HLK Ventures dengan kelulusan kerajaan negeri.

“Pasar lama tetap akan dirobohkan. Hanya menunggu waktu yang bersesuaian kerana MDPP berhak ke atasnya. Lagipun, sudah dua kali notis pemindahan dikeluarkan.

“Setakat ini seramai 305 peniaga sudah berpindah ke Pasar Siti Hajar sementara 135 lagi belum berbuat demikian,” katanya ke­tika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Mohd. Anis berkata, peniaga yang masih menjalankan perniagaan di pasar lama telah diberikan notis kedua pada 29 November lalu dengan menuntut mereka berpindah dalam tempoh tujuh hari berkerja dari tarikh berkenaan yang kini hanya tinggal dua hari lagi.

“Sekiranya mereka gagal berbuat demikian MDPP menganggap mereka tidak lagi berminat untuk berniaga di Pasar Siti Hajar dan hilang kelayakan. Kami akan menamatkan kebenaran kepada mereka yang mana tempat mereka di pasar baharu itu akan diisi oleh pemohon lain,” katanya.