Kesemua warga Myanmar itu ditahan pada pukul 4 petang oleh sepasukan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 9 Kubang Badak, Terengganu.

 Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah berkata, siasatan awal mendapati kawasan berkenaan dijadikan sebagai transit sementara sebelum PATI tersebut di bawa ke Kuala Lumpur menggunakan pengangkutan awam.

 Menurutnya, kesemua warga asing tersebut dibawa masuk ke negara ini menggunakan laluan tikus melalui pangkalan haram Pak Dek berhampiran tebing Sungai Golok.

 "Pemeriksaan mendapati rakyat asing ini tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah mengikut undang-undang.

 "Sebanyak 15 pati warga Myanmar ini terdiri daripada lapan lelaki dan selebihnya wanita," katanya dalam sidang akhbar di sini har ini.

 Yang turut hadir Pegawai Kompeni Komander B, Batalion 9 PGA Kubang Badak, Asisten Superintenden Nick Hazrul Harun.

 Abdullah memberitahu, kesemua pati itu disiasat bawah Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959.

 Dalam perkembangan lain, Abdullah berkata, tiga lelaki warga tempatan serta seorang warga Thailand yang bertindak sebagai tekong darat turut dicekup. - UTUSAN ONLINE