Warga emas, Said Ali yang lebih mesra dipanggil Tok Ki adalah salah seorang ahli Persatuan Seni Silat Melayu Pantai Timur (Persima) yang menghantar 15 peserta mewakili negeri Terengganu ke festival tersebut.


Said yang juga merupakan guru tua silat bagi Kumpulan Seni Silat Gayuman Langkahan Serilatjuna berkata, dia telah mula belajar silat sejak dari usia remaja.


“Saya rasa gembira kerana masih dapat bersama anak-anak muda mengembangkan seni silat.


“Saya tidak ada apa-apa penyakit macam darah tinggi, kencing manis dan lain-lain, petua saya adalah makan nasi sekali sehari kerana itu sudah cukup.


“Setiap pagi saya sibuk menjaga seekor lembu, 12 ekor kambing dan 10 ekor ayam peliharaan manakala petang dan malam saya mengajar silat di gelanggang hadapan rumah di Kampung Baloh, Manir di Kuala Terengganu,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Gelanggang Seni di sini hari ini.


Sempena festival itu, Said turut menyertai perarakan 400 peserta dari enam buah negeri yang mengelilingi jalan-jalan utama di bandar ini pagi ini.


Sementara itu, ketua kontinjen Terengganu merangkap Timbalan Setiausaha Persima, Che Mohd Humaizi Che Jemaini berkata, pihaknya berbangga dapat membawa peserta tertua itu menyertai festival sebagai contoh kepada pesilat muda lain.


“Pada program ini pesilat dapat menunjukkan kehebatan dan kesenian silat secara santai tanpa perasaan tidak puas hati seperti dalam pertandingan,” katanya.- UTUSAN ONLINE