Presiden APB, Ahmad Nazri Zain berkata, program yang dianjurkan sempena musim cuti persekolahan hujung tahun itu adalah aktiviti ketiga yang dianjurkan pihaknya selepas Kayuhan Merdeka dan Kayuhan Hari Buruh yang diadakan di daerah ini.

Beliau berkata, beberapa kelab berbasikal dari Terengganu turut menyertai PKT dan Bukit Tanah Cycling Club adalah pasukan yang paling ramai membawa ah­linya menyertai program tersebut iaitu serami 48 orang.

“Program ini tidak mengehadkan umur peserta bagaimanapun pengayuh basikal bawah umur mesti bersama ibu bapa atau penjaga semasa kayuhan. Pada program ini peserta yang pa­ling muda berusia enam tahun,” katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Ahmad Nazri berkata, sepanjang program tersebut, peserta terpaksa berhadapan dengan hujan lebat sesuai dengan temanya kayuhan musim tengkujuh.

“Pengurusan APB amat gembira di atas komitmen penggemar sukan berbasikal kerana semangat kesukanan mereka yang tinggi termasuk tidak mahu melepaskan peluang menimba pengalaman berkayuh bersama-sama dalam cuaca hujan,” katanya.

Menurut beliau, kayuhan sejauh 30 kilometer itu merentasi Beris Kubur Besar, Kampung Budi, Tawang, Pengkalan Petah dan kembali ke Pantai Irama.

Katanya, kerjasama anggota pihak polis dan pasukan bomba daerah ini serta penaja banyak membantu menjayakan program itu.

“Program ini akan dijadikan sebagai acara tahunan APB dalam usaha merapatkan ukhuwah anak tempatan terutama yang kembali dari perantauan selain menyemarakkan semangat kesukanan iaitu berbasikal secara beramai-ramai,” katanya.