Wan Hasyaity Azlin Wan Hassan, 38, disahkan menghidap penyakit berkenaan ketika menerima rawatan di Hospital Raja Peremuan Zainab II (HRPZ II) selepas sekitar bahagian lidahnya ditumbuhi ruam seperti ulser, September lalu.

Menurut adiknya, Wan Hazwa­ni Liyana Wan Hassan, 29, pada awalnya, kanser kakaknya berada pada tahap dua namun penyakit berkenaan semakin melarat dan disahkan sudah berada pada tahap empat, baru-baru ini.

“Sebelum ini, kakak boleh makan dan berjalan seperti biasa namun kini hanya mampu minum susu melalui tiub selain harus dipapah untuk ke bilik air.

“Kakak tidak boleh bercakap serta membuka mulut dan ha­nya tulis di atas kertas sekiranya mahukan apa-apa pertolongan. Keadaan kesihatannya semakin terjejas sejak pangkal lidah dipotong,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Wan Hazwani berkata, sejak kakaknya sakit, dia berpindah dari Rantau Panjang ke rumah keluarga di Kampung Chicha ba­gi membantu ibu mereka, Esah Ahmad, 63, menguruskan Wan Hasyaity Azlin dan tiga anak yang masih kecil.

Wan Hasyaity Azlin yang bercerai dengan suami kira-kira empat tahun lalu mempunyai tiga anak perempuan iaitu Syaza Tasnim Shamsul Adli, 11; Syifaa' Balqis, 10, dan Syiddatul Nur Humairah, 5.

Wanita itu sebelum ini bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat menjual kereta namun terpaksa berhenti kerja sekali gus hilang punca pendapatan akibat penya­kit yang dihidapi.

Keluarganya kini menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan untuk membeli susu khas selain menampung perbelanjaan persekolahan tiga anak

“Doktor menyarankan agar ka­kak mendapatkan suntikan Vitamin B17 yang dapat membunuh dan mengawal sel kanser dalam masa yang sama menyuburkan sel normal.

“Bagaimanapun, kos rawatan di hospital yang mencecah RM35,000 agak mustahil bagi kami sekeluarga yang bukannya berada,” keluh Wan Hazwani yang tidak bekerja.

Orang ramai yang ingin membantu Wan Hasyaity Azlin boleh menyalurkan sumbangan ke aka­un Maybank 153038521472 atau menghubungi keluarga­nya di talian 0129032850 atau 097652369.