Abdul Halim berkata, punca utama pendapatan keluarganya sebelum ini adalah dengan hasil jualan ikan yang dijajanya di sekitar kampung berdekatan.

Bapa kepada enam orang anak itu berkata, selepas diserang angin ahmar tiga bulan lalu, keada­an fizikal dia sangat lemah dan tidak dapat bebas bergerak seper­ti biasa menyebabkan dia terpaksa berhenti menjaja ikan.

“Isteri saya mengambil alih tugas mencari rezeki dengan menjual kuih dan hasil pendapatan ialah sekitar RM20 sehari. Kami juga menerima bantuan sebanyak RM120 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Buat masa sekarang, kami se­keluarga menumpang di rumah emak saya yang disewa RM60 sebulan kerana tidak mampu menjelaskan bil air yang tertunggak dan sudah dipotong bekalannya di rumah kami,” katanya ketika ditemui, di sini hari ini.

Menurut Abdul Halim, hanya dua anaknya yang masih bersekolah iaitu Mohamad Aiman, 14, dan Fatin Nur Farah Insyirah, 10, manakala dua lagi iaitu Fatin Nur Izati, 17, serta Mohamad Syawal Ikhwan, 15, terpaksa berhenti belajar akibat kesempitan hidup.

Dua lagi anaknya, Fatin Nur Aina, 20, dan Fatin Nur Fatira, 18, pula tinggal bersama adiknya di Ipoh, Perak.

Nasib keluarga itu bagaimanapun mendapat perhatian pihak Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) yang hadir menyalurkan sumbangan bagi meringankan beban mereka sekeluarga hari ini.

Timbalan Yang Dipertua Maik, Dr. Nik Mohd. Azlan Abd. Hadi berkata, pihaknya bersedia meng­hulurkan sumbangan kepada rakyat yang memerlukan bantuan bagi meringankan beban mereka.

“Hari ini kita menyampaikan sumbangan segera berjumlah RM2,000 kepada keluarga ini dan pihak kami akan mempertimbangkan lagi bantuan lain seperti biasiswa kepada anaknya yang masih bersekolah serta bantuan bulanan berjumlah RM400 daripada Maik.

“Kita juga akan melunaskan bil air yang tertunggak agar keluarga ini dapat berpindah semula ke rumah mereka dan tinggal dalam keadaan yang lebih selesa,” ujar­nya.