Aiman (bukan nama sebenar), 51, bekerja sendiri yang berasal daripada Kota Bharu mempu­nyai tiga orang anak berusia 23, 20 dan 7 tahun menjalani hukuman penjara selama 11 tahun atas kesalahan pecah amanah di bawah seksyen 409 kanun keseksaan.

Selepas tiga tahun berada di balik tirai besi, dia menerima ha­diah yang paling besar apabila dibenarkan menyambut Aidilfitri bersama keluarga buat kali pertama.

Kata Aiman, sebelum ini, dia hanya boleh melihat keluarga yang datang menjenguknya kerana mereka dipisahkan oleh din­ding kaca dan berbual melalui telefon yang disediakan.

“Sebelum ini mereka ada datang menjenguk saya, tetapi sekadar berbual telefon sebalik tirai. Kali ini saya diberi peluang untuk berjumpa, memohon kemaafan dan memeluk keluarga secara ber­depan.

“Saya amat bersyukur dapat merasai suasana hari raya bersama keluarga seperti insan di luar sana,” katanya kepada pemberita dalam Majlis Jalinan Kasih sempena Aidilfitri bersama banduan dan tahanan di Pusat Pemulihan Akhlak Machang di sini hari ini.

Aiman berkata, sepanjang tem­poh berada di dalam penjara, ba­nyak perkara yang dipelajarinya sama ada dalam aspek rohani dan jasmani.

“Sepanjang di sini, kami didi­dik soal agama, mengaji dan solat. Semua ini banyak mengubah serta menginsafkan saya yang al­pa selama ini.

“Saya juga mengambil kursus kemahiran membuat kerepek, mi­ni karipap, donat dan lain lain. Saya harap dengan ilmu ini dapat dijadikan bekal untuk menjalani kehidupan di luar nanti,” ujarnya.