Berkat kesungguhan dan keazaman yang tinggi Nur Syaz­wana Azaha, 20, membuahkan hasil apabila dia kini menjadi salah seorang guru tarian.

Nur Syazwana mengakui dia bercita-cita memperkenalkan ta­ri­an tradisional kepada generasi muda agar warisan bangsa itu tidak lenyap ditelan zaman.

Biarpun menyedari agak sukar untuk menonjolkan diri di negeri Serambi Mekah yang mempunyai undang-undang ketat berkaitan hiburan dan wa­ni­ta, namun kekangan itu sama sekali tidak mematahkan semangat anak bongsu daripada dua beradik ini.

Bagi memastikan tarian tradisional terus mendapat tempat di hati rakyat Kelantan, Nur Syaz­wana berkata, segala syarat ditetapkan kerajaan negeri dipatuhi.

Katanya, untuk itu, dia memastikan pemakaian menutup aurat dengan mengenakan tudung, baju lengan panjang dan berseluar yang disertakan dengan samping bagi memastikan susuk tubuh tidak kelihatan.

“Saya faham setiap kali membuat persembahan bukan sahaja ditonton golongan wanita sahaja tetapi lelaki turut ada bersama.

“Oleh sebab itu, saya sentiasa mengutamakan isu aurat dalam kalangan penari-penari setiap kali kami mengadakan persembahan dalam majlis rasmi atau perkahwinan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Menurutnya, pada masa kini, dia mempunyai seramai 13 pelajar yang terdiri daripada mereka berusia di bawah 18 tahun.

Katanya, semua mereka merupakan pelajar sekolah di sekitar daerah ini yang diajar untuk mahir dalam tarian inai, salah satu tarian tradisi­onal tersohor.

“Semua mereka diajar pada waktu lapang dan cuti sekolah di rumah saya di Kampung Banggol yang mana terdapat sebuah tempat khas yang kami panggil Sanggar Budaya Geng Wak Long.

“Di tempat khas ini, saya me­ngajar menari dan mengadakan persembahan serta berharap ia menjadi pusat melahirkan generasi pewaris budaya bangsa,” katanya.