Masyarakat yang dikatakan wujud sejak 300 tahun lalu itu hidup dalam kelompok orang Melayu sehingga menyebabkan cara dan kehidupan mereka seperti orang Melayu tempatan.

Lebih unik, mereka juga mempunyai nama gelaran Melayu masing-masing malah terdapat dalam kalangan generasi tua masyarakat tersebut lebih mahir membaca dan menulis jawi berbanding bahasa Mandarin.

Penduduk di sini juga gemar makan makanan kampung seperti ulam-ulaman, ikan, nasi kerabu dan selera mereka dikatakan tidak sempurna sekiranya hidangan tersebut tidak besertakan budu.

Ikuti laporan menyeluruh wartawan Utusan Malaysia, MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB dan jurugambar, ROSNI MASRI mengenai kehidupan masyarakat Peranakan Cina Kelantan di kampung tersebut yang semakin terancam dengan arus pemodenan

 


PASIR MAS 12 Mac -  Peredaran masa menyaksikan kebanyakan golo­ngan Peranakan Cina khususnya yang tinggal di bandar semakin melupakan budaya yang diwarisi mereka sejak turun temurun.

Kebimbangan itu disuarakan kepada bekas penghulu kampung itu, Chu U Liak, 70, yang merasakan ramai dalam kala­ngan anak muda sudah meninggalkan banyak budaya yang diamalkan di kampung.

Katanya, sebagai contoh, budaya berkain sarung tidak lagi menjadi pakaian generasi muda sebaliknya hanya dipakai oleh golongan tua.

Pada masa sama, katanya, generasi muda banyak membina kehidupan baharu di bandar menyebabkan mereka meninggalkan rumah pusaka di kampung-kampung tanpa sebarang penjagaan.

Selain itu, pelbagai permai­nan tradisi seperti gasing, wau, wayang kulit juga sudah tidak diminati oleh golongan muda sekaligus berupaya menjarakkan hubungan antara kaum.

“Saya tidak tahu bagai­mana­kah masa depan Peranakan Cina dalam tempoh 30 atau 40 tahun akan datang. Adakah masih ada,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Tambahnya, daripada segi masyarakat tersebut menyambut Tahun Baharu Cina juga sudah jauh berbeza berbanding dahulu.

Ujarnya, kebanyakkan golo­ngan tersebut pada masa ini lebih gemar menghabiskan masa di rumah berbanding berkunjung ke rumah saudara- mara atau rakan-rakan seperti zaman dahulu.

“Perayaan dulu dan sekarang jauh bezanya. Hari ini kebanyakkan orang sibuk dan lebih suka berada di rumah dan buat hal masing-masing.

“Dulu setiap kali tibanya sambutan Tahun Baharu Cina, kami akan bergotong-royong menyediakan kuih dan pelbagai jenis makanan lain. Malah kuih bahulu juga kami sediakan sendiri.

“Sekarang sudah moden, anak-anak kebanyakkannya tinggal di luar dan terbiasa dengan suasana bandar sehingga budaya-budaya kampung semakin dilupakan,” katanya.