Para peniaga tersebut turut mempersoalkan tindakan pemaju itu kerana mereka telah mendapat lesen dan kelulusan berniaga daripada Majlis Majlis Perbandaran Kota Bharu - Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) pada 28 Februari lalu.

Wakil peniaga, Mat Hassan Daud, 50, bagaimanapun berkata, mereka hanya memulakan perniagaan di kawasan itu pada 3 Mac lalu

Katanya, tidak timbul langsung soal mereka menceroboh kawasan itu seperti mana yang didakwa oleh pemaju kerana mereka telah mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan.

“Buat masa sekarang, pihak kami berhenti berniaga sementara kerana pemaju meletakkan halangan di tapak tempat kami berniaga.

“Kami telah membuat laporan dan sedang menanti maklum balas daripada pihak MPKB-BRI dan kerajaan negeri mengenai hal ini.

“Saya harap janji pihak berkuasa sebelum ini untuk memberi kebenaran tempat berniaga kepada anak-anak petani sekitar Lembah Sireh dapat dikotakan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas sidang akhbar bantahan peniaga di sepanjang Jalan Bulatan Tesco ke Aeon Mall, di sini hari ini.

Mat Hassan yang juga Pengerusi Komuniti Masjid Kampung Sireh berkata, pihak peniaga juga telah mengeluarkan modal sendiri berjumlah hampir RM14,000 sebagai inisiatif untuk membersih dan menceriakan kawasan itu dengan menambak pasir pada tanah rizab kerajaan bersebelahan tapak jualan.

“Kami mohon jasa baik pemaju untuk mempertimbangkan perkara ini kerana sebahagian besar peniaga adalah penduduk di sekitar Lembah Sireh sendiri dan pekerjaan ini adalah punca pendapatan utama mereka,” ujarnya.

Sementara itu, seorang lagi peniaga, Azlina Muhamad, 34, berkata, setelah hampir sebulan berniaga, hampir setiap hari dia menerima arahan supaya berhenti berniaga di kawasan itu jika tidak mahu sebarang tindakan diambil.

“Kami hentikan aktiviti jualan sementara waktu, kerana tindakan drastik pemaju meletakkan halangan bagi menganggu perniagaan kami.

“Saya harap perkara ini dapat diselesaikan kerana di sini tempat saya mencari rezeki dengan menjual nasi bajet dengan pendapatan RM300 sehari, “ ujarnya. -UTUSAN ONLINE