Kejadian yang berlaku pada pukul 9.43 malam itu, turut menyebabkan keseluruhan kitab pengajian milik pelajar terbabit hangus selepas api marak dengan pantas dan sukar untuk dikawal.

Mudir pondok itu, Irfan Abdul Hamid berkata, ketika kejadian berlaku kesemua pelajar sedang mentelaah dan mengikuti pem­belajaran al-Quran di surau berdekatan.

“Kesemua pelajar di pondok ini ialah 150 orang termasuk 30 pelajar perempuan berusia 12 tahun ke atas yang datang dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak. Buat sementara waktu kesemua mangsa ditempatkan di pondok rakan-rakan mereka.

“Mereka juga memerlukan bantuan pakaian bagi memboleh­kan mereka meneruskan pem­belajaran sebagaimana biasa,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di Kampung Permatang Sungkai, dekat sini hari ini.

Irfan berkata, untuk tempoh jangka panjang pengurusan pondok akan memohon bantuan daripada kerajaan dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan atau mana-mana dermawan bagi membina semula bangunan pondok bagi memberi keselesaan kepada pelajar tahfiz terbabit.

“Hiba rasanya melihat pelajar tahfiz yang masih mencari kitab-kitab dan buku rujukan yang masih boleh digunakan, bagaimanapun kami bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa.

“Kebakaran yang bermula dari salah sebuah pondok ini hanya disedari selepas dimaklumkan oleh salah seorang pelajar yang pulang dari surau untuk mendapatkan minuman,” katanya.

Sementara itu, Ketua Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Penolong Penguasa Bomba Azhar Elmi Mustofar berkata, ketika tiba di tempat kejadian, sebanyak lapan pondok terbakar dalam keadaan 80 peratus sebelum merebak ke dua buah lagi pondok berdekatan.