Tinjauan Utusan Online hari ini mendapati kumpulan itu berkumpul di pintu masuk bersama beg plastik dan bekas minuman kosong untuk menadah sumbangan orang ramai selepas selesai solat Jumaat.

Seorang jemaah, Abdul Malik Awang, 44, berkata, adalah kelaziman masjid di sekitar bandar ini dibanjiri peminta sedekah pelbagai usia dan jumlah mereka bertambah ramai menjelang Aidilfitri.

Menurutnya, peminta sedekah berkenaan turut melibatkan penghuni pondok agama dari negara jiran selain segelintir remaja yang mendakwa mereka dari pusat tahfiz.

“Mereka akan berderetan di tepi pagar utama dan wakaf berdekatan sambil meminta ihsan simpati orang ramai. Ada juga yang menjual makanan dan mendakwa mereka penghuni pondok,” katanya ketika ditemui.

Seorang lagi ahli kariah masjid, Kamarudin Ismail, 30, berkata , kebanyakan pengemis berkemungkinan besar sudah mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) namun masih meminta sedekah kerana mahu pendapatan tambahan.

Menurutnya, pihak JKM perlu membuat pemantauan dalam usaha mengekang kebanjiran pengemis. Sekarang bukan hanya orang tempatan, ada yang datang dari Myanmar dan Selatan Thailand,” katanya. - UTUSAN ONLINE