Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Teknologi Hijau negeri, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, perkara ini kerana semakin ramai petani di negeri ini berminat untuk mengusahakan dusun durian musang king berikutan pasaran baik dan harga tinggi.

Katanya, buah durian itu juga boleh dieksport ke luar negara dengan harga tinggi mencecah ratusan ringgit setiap kilogram.

“Kita giat melaksanakan sesi kursus bagi pertanian durian musang king supaya setiap usaha yang dilakukan petani mendapat kejayaan.

“Kita berharap keluaran buah itu nanti bermutu, enak dan diminati pembeli sama ada dari dalam ataupun luar negara dan tidak mahu petani hanya mengusahakan durian musang king secara sambil lewa,” kata­nya selepas merasmikan Program Berjalan Kaki Agensi MoA Inc. Bersama Masyarakat Tani, di sini semalam.

Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Pertanian negeri, Karim @ Mohd. Khari Yusoff.

Che Abdullah berkata, menurut kajian, durian musang king berasal dari negeri ini bermula di Tanah Merah dan nama diper­kenalkan di Gua Musang, namun kini banyak ditiru petani di Pahang.

Katanya, peluang itu tidak boleh disia-siakan petani di negeri ini dan harus merebut peluang mengusahakan dusun durian musang king yang mampu memberi pulangan lumayan.

“Daripada segi pasaran ditentukan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) termasuklah untuk dieksport.

“Bagaimanapun, kita tidak mahu berlaku lambakan keluaran durian musang king di pasaran sebagaimana yang berlaku ke atas durian jenis lain sebelum ini,” katanya.