Rata-rata peneroka yang ditemui berkata, aktiviti perlombo­ngan itu telah bermula sejak dua bulan lalu tanpa sebarang makluman ke­pada peneroka yang terlibat.

Mereka mendakwa, aktiviti itu sekali gus menjejaskan kira-kira 150 peneroka getah dan kelapa sawit yang mengusahakan tanah seluas kira-kira 400 hektar sejak 2005.

Menurut seorang peneroka, Has­san Mat Yusof, 67, tanah yang diusahakannya sejak 2005 lagi turut terjejas dengan aktiviti perlombongan emas itu.

“Kalau boleh hentikan perlombongan di situ kerana saya telah mengusahakan lapan hektar ta­nah sejak 2005 lagi.

“Kami sekeluarga hanya bergantung kepada hasil getah ini sahaja. Jika aktiviti perlombongan ini diteruskan, hilanglah sumber pendapatan kami,” katanya keti­ka ditemui di sini semalam.

Sementara itu, seorang lagi peneroka, Mohd. Roffi Seman, 53, berkata, dia telah mengemukakan tiga kali permohonan dasar sejak 2009 lagi namun tiada maklum balas yang diterimanya setakat ini.

“Pada tahun 2012, kami dimaklumkan secara lisan bahawa permohonan dasar untuk mendapat hak milik tanah ini telah diluluskan sebanyak 1.6 hektar seorang.

“Tapi itu hanya dimaklumkan secara lisan dan setakat ini, saya masih belum menerima apa-apa jawapan sedangkan tanah ber­ke­naan memang layak untuk permohonan dasar,” katanya.

Tambah Mohd. Roffi, sekiranya permohonan berkenaan ditolak, dia dan peneroka yang lain berharap agar menerima bayaran pampasan yang setimpal.

“Setakat ini, pihak pelombong hanya membayar pampasan kepada kira-kira 10 peneroka sahaja dengan bayaran RM17 hingga RM25 untuk sebatang pokok yang berusia lima tahun ke atas.

“Bayaran ini tidak setimpal dengan apa yang telah kami usahakan kerana sudah 70 peratus daripada keseluruhan 400 hektar tanah di sini telah mendapat ha­sil,” katanya.