Tindakan yang tidak bertanggungjawab oleh pemilik haiwan tersebut yang sengaja melepaskan ternakan mereka menyebabkan puluhan ekor lembu dan kambing sering mengganggu laluan utama Cherang Ruku ke Kuala Besut pada waktu pagi serta lewat petang.

Seorang pengguna jalan raya, Khairuzi Ismail, 35, berkata, keadaan itu boleh mengundang bahaya terutama pada waktu malam apabila masih terdapat lembu yang berkeliaran di tepi jalan utama.

Menurutnya, tindakan segelintir penternak yang membawa lembu-lembu di sepanjang jalan kampung Pauh Dara dan Dalam Rhu pada setiap petang untuk dibawa masuk ke dalam kandang juga mengganggu kenderaan apabila ternakan itu berada di tengah jalan raya atau melintas secara tiba-tiba.

“Sejak kebelakangan ini, seba­hagian penternak mencari semula ternakan yang dilepaskan pada waktu pagi untuk dibawa pulang ke rumah masing-masing berikutan kerap berlaku kejadian curi lembu yang dilakukan pihak tertentu dengan menyumpit ubat pelali,” katanya di sini hari ini.

Khairuzi berkata, penguatkuasaan mengikut Akta Kecil PBT menangkap ternakan dan me­ngenakan denda akan memberi pengajaran kepada pemiliknya untuk lebih bertanggungjawab.

Seorang lagi penduduk, Ahmad Ibrahim, 40, kambing dan biri-biri yang berkeliaran turut menyebabkan sampah-sarap dalam tong sampah yang disediakan PBT bersepah sehingga menampakkan suasana yang tidak terurus.

“Keadaan menjadi bertambah teruk apabila sampah-sarap itu turut diusik oleh kawanan anjing liar pada waktu malam.

“Saya amat berharap pihak PBT mengambil tindakan segera bagi memastikan keadaan tidak berlarutan kerana boleh mengancam nyawa pengguna jalan raya,” katanya.