Penduduk mendakwa, meskipun tanah seluas 16 hektar itu berstatus rizab sungai, mereka mengambil inisiatif membersihkan kawasan itu sejak puluhan tahun lalu dan mengusahakan pelbagai jenis tanaman di situ.

Apa yang mengecewakan, syarikat yang dikatakan dilantik seorang ahli politik tempatan itu secara tiba-tiba menceroboh kawasan tersebut untuk membuka ladang pokok bunga matahari tanpa berbincang dengan penduduk.

Penghulu Kampung Keladang, Noor Azwan Che Hashim berkata, tanah tersebut diakui bukan milik penduduk dan berstatus rizab sungai, namun mereka sudah menghabiskan wang dan tenaga untuk menerokanya sebelum menanam jagung, cili serta ubi.

“Penduduk kecewa dan marah apabila melihat kawasan tanah diusahakan sejak berpuluh tahun diceroboh tanpa dimaklumkan kepada kami terlebih dahulu. Mereka sepatutnya membersihkan kawasan hutan yang belum diteroka, bukannya tanah diusahakan penduduk.

“Setakat ini, sebanyak 0.8 hektar sudah diteroka syarikat itu dan tidak mustahil mereka meneroka lebih banyak tanah pada masa akan datang,” kata­nya ketika mengadakan bantahan aman di hadapan kawasan tanah berkenaan, di sini hari ini.

Sementara itu, seorang pe­tani, Kasri Mamat, 55, menggesa syarikat tersebut membatal­kan cadangan meneroka tanah terbabit atau sekurang-kurangnya mencari jalan penyelesaian bersifat menang-menang kepada kedua-dua belah pihak.

“Kami berdepan kerugian jika mereka terus meneroka ta­nah yang telah pun diusahakan kami sebelum ini dengan pelbagai tanaman,” katanya.

Aminah Deraman, 70, pula berharap Kerajaan Pas Kelantan campur tangan dalam kes berkenaan kerana rata-rata penduduk terbabit berpendapatan rendah dan cuma bergantung kepada hasil bercucuk tanam.

“Sudah lebih 20 tahun saya dan suami mengusahakan tanah ini. Saya yakin syarikat ber­kenaan tahu perkara ini tetapi mereka tetap menceroboh tanpa memikirkan kesannya kepada kami,” katanya.

Sementara itu, usaha mendapatkan maklum balas ahli politik yang didakwa terbabit secara langsung dengan syarikat ber­kenaan gagal kerana beliau tidak menjawab panggilan tele­fon atau membalas khidmat pesanan ringkas (SMS).