Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur,Utiliti dan Teknologi Maklumat Negeri, Datuk Hanifa Ahmad berkata, sebaliknya apa yang berlaku adalah persetujuan kedua-dua belah pihak untuk menamatkan kontrak dengan syarat tertentu.

“Apa yang saya ingin tekankan di sini ialah apabila Husam memfitnah kononnya kerajaan negeri telah menamatkan kontrak dan yang kedua, kita (kerajaan negeri) telah disaman oleh syarikat berkenaan. Perkara ini jelas tidak betul.

“Saya ingin nasihatkan kepada beliau (Husam) agar tidak membuat sebarang kenyataan yang bertujuan memburukkan kerajaan negeri.

“Malah, peguam kita juga sedang meneliti kembali rakaman video di You Tube terhadap sebarang kenyataan yang dilemparkan dan kalau ada yang berunsur fitnah, kita akan buat laporan polis seterusnya megambil tindakan mahkamah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Kompleks Kota Darul Naim di sini hari ini.

Tuduhan berkenaan disebarkan Husam semasa program Bicara Anak Kelantan di sebuah hotel di negeri ini pada 28 Disember tahun lalu. - UTUSAN ONLINE