Saiful Helmie Dzamani, 26, dari Kubang Kerian, yang pekak dan bisu sejak lahir, tidak pernah menganggap ‘kekurangan’ itu sebagai suatu kekangan untuk terjun dalam bidang perniagaan.

Malah anak muda berwawasan tinggi ini bersama rakan kongsi­nya, Hasbullah Saidin, 27, yang juga bermasalah pendengaran telah membuka perniagaan per­cetakan di pinggir bandar ini sejak Mei tahun lalu.

Berbekalkan modal permulaan RM9,000, Saiful Helmi kini bergelar pemilik SHD Printing Studio yang beroperasi di Jalan Abdul Kadir Adabi di sini.

“Saya kumpulkan modal daripada pinjaman Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional sebanyak RM5,000 manakala RM4,000 lagi adalah perkongsian dengan Hasbullah.

“Kami gunakan duit itu untuk membeli peralatan kedai seperti komputer, mesin percetakan dan alat pendingin hawa.

“Syukurlah perniagaan berjalan dengan baik walaupun pada saat ekonomi kurang memberangsangkan malah kami pernah menyiapkan tempahan cetakan 1,500 helai kemeja T,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Temu bual berlangsung de­ngan bantuan buku nota yang menjadi ‘perantara’ antara wartawan Utusan Malaysia dengan Saiful Helmie.

Pemuda ini memberitahu, pendidikannya bermula di Sekolah Kebangsaan (SK) Tengku Indera Petra di sini sebelum menyambung pelajaran ke SMPKV Shah Alam dan seterusnya Politeknik Ibrahim Sultan, Pasir Gudang.

“Saya mempunyai Sijil Kemahiran Khas Rekabentuk Grafik Tahap II dan amat meminati bidang grafik dan menambahkan ilmu melalui internet, sebelum membuka kedai saya pernah be­kerja lebih setahun sebagai pereka grafik di sebuah kedai percetakan di bandar ini,” katanya.

Saiful Helmie berkata, dia amat berterima kasih kepada ibu dan bapanya, Siti Fatimah Hassan, 65, dan Dzamani Hussin, 67, yang menaruh kepercayaan bahawa anak mereka mampu menjadi manusia berguna jika diberi peluang.

Katanya, dia merancang untuk memperbesarkan lagi perniagaannya dan menambah kakitangan termasuk dari kalangan orang kelainan upaya seperti dirinya.

“Saya juga mahu mengambil pekerja normal bagi memudahkan komunikasi de­ngan pelanggan. Setakat ini saya mengambil tempahan pelanggan yang melayari laman FB SHD Printing Studio dari seluruh negara selain aplikasi WhatsApp,” katanya.