Leftenan Kolonel Muhamad Izam Omar (Bersara), 60, dari sini berkata, peristiwa dia terkena jerangkap samar sehingga menyebabkan kudung kaki kanan berlaku selepas sebulan dinaikkan pangkat sebagai kapten pada usia 24 tahun malah ketika itu baru dua bulan mendirikan rumahtangga.

Ketika itu dia dilantik sebagai Penolong Ketua Kompeni Bravo, Batalion 23 RAMD yang berpusat Kem Sikamat, Seremban, Negeri Sembilan dan kemudiannya diarahkan memangku tugas Ketua Kompeni untuk menjalankan operasi Kota Echo/Foxtrot dekat Bukit Kobis, Perak iaitu di sempadan Malaysia-Thailand.

“Saya bersama anggota kompeni diterbangkan dengan helikopter dari markas taktikal batalion di Klian Intan masuk ke hutan pada petang 3 November 1982 dan pagi keesokannya saya telah mengetuai kumpulan seramai lapan orang untuk membuat rondaan keselamatan awal.

“Sepatutnya seorang anggota bawahan saya iaitu Koperal Mat yang mengetuai rondaan malah dia sudahpun selesai memberi penerangan di lokasi markas taktikal kompeni kami tetapi hati saya tergerak untuk melakukannya sendiri memandangkan baru tiba di kawasan itu.

“Kami bergerak keluar pada pukul 8.30 pagi dengan jarak tiga meter hingga empat meter antara satu sama lain, kira-kira pukul 10.00 pagi kedengaran satu letupan apabila Prebet Mahudin yang berkedudukan nombor dua dari belakang terpijak jerangkap samar,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Jambu di sini hari ini.

Sarung kaki palsu
LEFTENAN Kolonel Muhamad Izam Omar (Bersara) memakai sarung kaki sebelum memakai kaki palsu di rumahnya di Kampung Jambu di Kota Bharu hari ini. - UTUSAN ONLINE

Muhamad Izam berkata, dia pada ketika itu yang berada nombor dua di hadapan segera bergegas ke belakang untuk memberi rawatan kecemasan kepada Prebet Mahudin yang putus kaki kiri.

Setelah kira-kira setengah jam menunggu bantuan dari markas taktikal kompeni yang tidak kunjung tiba, Muhamad Izam sekali lagi menghubungi mereka menggunakan radio.

“Saya terkejut apabila diberitahu mereka menghantar Korporal Mat untuk menguruskan suasana cemas itu sedangkan masih ramai lagi anggota berpangkat tinggi berada di markas yang sepatutnya datang.

“Saya bimbang pasukan bantuan hadapi masalah untuk temui tempat kami berada dalam keadaan Prebet Mahudin kehilangan banyak darah, saya berlari untuk mencari mereka dan tidak sampai 100 meter dari tempat kejadian pertama saya pula yang melayang kerana terpijak jerangkap samar yang dipasang komunis,” katanya.

Kaki kanan Muhamad Izam dipotong dari atas paras buku lali di Hospital Pulau Pinang dan telah menerima rawatan di hospital itu selama tiga bulan sebelum meneruskan rawatan susulan di Hospital Kinrara, Kuala Lumpur.

Muhamad Izam mewarisi minat dalam kerjaya ini daripada arwah ayahnya, Allahyarham Koperal Omar Harun yang menyertai RAMD pada zaman Darurat di Tanah Melayu. - UTUSAN ONLINE