Pengarah Rela negeri, Md. Rawi Mohamad berkata, pi­haknya memandang serius per­kara itu berikutan dua insiden melibatkan senjata api telah pun berlaku di negeri ini sehingga mengorbankan dua anggota Rela dalam tempoh dua bulan.

Sehubungan itu katanya, beliau telah mengarahkan pegawai di setiap daerah membuat pemantauan dan mengadakan taklimat khas berkenaan pengu­rusan dan penjagaan senjata api sebagai peringatan kepada anggota Rela yang menyimpan senjata api.

“Senapang perlu dijaga dan disimpan sebaik mungkin me­ngikut garis panduan ditetapkan. Kita mahu setiap anggota mematuhi perkara ini.

“Dalam masa sama kita juga mengingatkan anggota Rela supaya tidak sekali-kali menyalahgunakan senjata api diberikan kerajaan ini untuk aktiviti berburu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Pada 2 Ogos lalu, seorang anggota Rela, Mohd. Rodin Hashim, 45, maut akibat tertembak diri sendiri ketika menunggang motosikal di Kampung Kolam, Tok Uban, Pasir Mas.

Sementara itu, dalam kejadian di Kampung Kerilla, Ma­­chang kira-kira pukul 1.30 petang semalam, seorang lagi anggota Rela, Rosmadi Abd. Aziz, 49 maut terkena tembakan dilepaskan anak saudaranya yang mencuri senapang miliknya.

Dalam pada itu, Md. Rawi mengucapkan takziah kepada keluarga Rosmadi di atas tragedi malang menimpa mangsa dan berharap pihak polis dapat menyelesaikan kes tersebut secepat mungkin.