Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas, Senator Datuk Hanafi Mamat berkata, peranan masjid perlu terus diperluaskan sejajar dengan apa yang telah diamalkan oleh junjungan besar Nabi Muhammad SAW ketika baginda menjadi pe­mimpin satu masa dahulu.

Menurutnya, apabila peranan masjid diperluaskan, secara tidak langsung mampu menarik lebih ramai masyarakat untuk mengimarahkan rumah Allah itu.

“Dengan cara ini, kita dapat memupuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat.

“Apa yang dilakukan ini selaras dengan tuntutan Islam,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pasar Tani Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) di Masjid Mukim Binjal, Kangkong di sini hari ini.

Yang turut hadir, Imam Muda Muhd. Afifi Mohd. Noor dan Pentadbir Mukim Dewan Un­da­ngan Negeri (DUN) Chetok, Shamsudin Che Yusoff.

Hanafi yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Persekutuan (MPP) Parlimen Pasir Mas berkata, pembukaan pasar tani itu dapat merancakkan lagi kegiatan ekonomi di kawasan tersebut.

Katanya, kewujudan pasar tani tersebut tepat pada masa­nya bagi memboleh menduduk memasarkan hasil pertanian mereka secara terus tanpa menggunakan orang tengah.

“Ini sejajar dengan kehendak kerajaan dalam berjihad me­merangi orang tengah.

“Jadi saya berharap penduduk di sekitar kawasan ini dapat memanfaatkan kewujudan pasar tani tersebut sebaik mungkin,” katanya.

Pasar tani masjid itu diadakan pada setiap hari Jumaat bermula 8 pagi hingga 1 petang.