Pengarah Bomba negeri, Nazili Mahmood berkata, langkah tersebut perlu dilakukan segera memandangkan kes kebakaran kerap berlaku di sekolah pondok.

Menurutnya, sebelum ini pihaknya juga telah mengarahkan semua balai bomba yang terlibat untuk memberi latihan asas kepada pelajar pondok agar mereka dapat bertindak segera sekiranya berlaku kebakaran.

“Walaupun latihan sudah dibuat namun, kebakaran berlaku begitu cepat. Oleh sebab itu, penggera kebakaran perlu ada di setiap sekolah pondok untuk memberi amaran berlaku kebakaran.

“Bila penggera kebakaran dibunyikan, pelajar akan boleh bertindak segera untuk menyelamatkan diri dan harta benda,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Latihan Pemantapan Pasukan Keselamatan Kebakaran (ERT) negeri di Ibu Pejabat Bomba di sini hari ini.

Pada majlis tersebut, seramai 200 peserta telah menyertai latihan sebagai persediaan sekiranya berlaku kebakaran. - UTUSAN ONLINE