Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, ini bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat serta mengelak kemungkinan berlakunya konflik perundangan berpanjangan yang merugikan negara dan rakyat.

“Setelah meniliti serta mendapat maklumat daripada pihak-pihak yang berautoriti Pas berpandangan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong serta Majlis Raja-Raja sudah semestinya telah mendapat nasihat perundangan yang sewajarnya terutama dalam mentafsirkan Fasal (1A) Perkara 122 Perlembagaan Persekutuan sebelum berkenan melantik.

“Walau bagaimanapun Pas merasakan amat wajar pihak berkenaan bertindak dengan lebih proaktif dengan memberikan maklumat terperinci mengenai perkara ini supaya tidak menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat serta mengelak berlakunya konflik perundangan berpanjangan yang merugikan negara dan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dilaporkan berkata, majlis pimpinan Pakatan Harapan yang diketuai DAP merayu Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja membuat ketetapan berikutan lanjutan perkhidmatan dua hakim kanan negara ini.

Md Raus dan Ahmad Zaki yang akan bersara pada 4 Ogos dan 28 September ini dilanjutkan perkhidmatan untuk tiga tahun lagi. - UTUSAN ONLINE