Bendahari Kelab Pelukis Kraf (KPK), Ilyas Din berkata, program julung kali tersebut adalah anjuran bersama kelab itu dengan Jabatan Psikiatri Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) Universiti Sains Malaysia (USM) dan Yayasan Kraftangan.

ANTARA karya yang bakal dipamer dalam Pameran Lukisan dan Buku Jualan Amal 2019
ANTARA karya yang bakal dipamer dalam Pameran Lukisan dan Buku Jualan Amal 2019 

Beliau berkata, pameran dengan tema ‘Seni Komunikasi dan Alam’ itu bertujuan mengumpul dana bagi mengisi Tabung Pembinaan Bilik Permainan Kanak-kanak di Klinik Psikiatri, Hospital USM (HUSM).

“Lebih 100 karya lukisan yang dihasilkan bakat lama dan baharu ini akan dijual dengan harga antara RM15.00 sehingga RM800, kita jual karya-karya ini secara longgok dan juga lukisan yang sudah siap berbingkai

“Kita merancang untuk menyerahkan 15 peratus hasil jualan kepada tabung bilik permainan kanak-kanak tersebut, sekiranya sambutan menggalakkan kita akan lanjutkan lagi tempoh pameran,” katanya ketika dihubungi Utusan Online di sini hari ini.

Menurut Ilyas, pameran selama empat hari dari pukul 9.30 pagi hingga pukul 5 petang itu turut menyediakan pelbagai aktiviti untuk pengunjung khususnya kanak-kanak bagi mendedahkan mereka kepada kemahiran melukis.

Sementara itu, Pakar Psikiatri, Unit Bimbingan Kanak-kanak dan Remaja HUSM, Dr Norzila Zakaria berkata, orang ramai khususnya ibu bapa diminta tidak melepaskan peluang cuti prrsekolahan minggu hadapan untuk membawa anak-anak berkunjung ke pameran tersebut.

Beliau berkata, hasil lukisan karya dan kerja tangan pesakit psikiatri juga akan turut dipamer dan dijual dalam program tersebut.

ANTARA karya yang bakal dipamer dalam Pameran Lukisan dan Buku Jualan Amal 2019
ANTARA karya yang bakal dipamer dalam Pameran Lukisan dan Buku Jualan Amal 2019 

“Kemahiran melukis adalah salah satu cabang kemahiran yang sangat sesuai kita sarankan untuk anak-anak, ia juga boleh menjadi terapi kepada mereka yang mengalami masalah emosi.

“Kita mungkin merasakan anak-anak tidak pandai dalam akademik kerana masalah tertentu tetapi masa depan mereka tidak boleh kita biarkan terhenti begitu, potensi diri mereka boleh diasah dalam pelbagai cara termasuklah melalui lukisan,” katanya.

Antara pelukis yang mengambil bahagian adalah Datin Rosilah Said; Ayub Mohamad; Nawi Awanglah; Wan Hamzah Wan Daud; Rosdi Bakar; Ir Noor Zaidi Abdullah; Debbie selain Ilyas dan Dr Norzila sendiri.

Orang ramai yang inginkan maklumat lanjut mengenai pameran ini boleh menghubungi talian 0139257650 (Cikgu Nawi). - UTUSAN ONLINE