Pengiktirafan 'Pengayuh Basikal Tertua Mengelilingi Semenanjung Malaysia’ disampaikan wakil MBOR, Nurasyikin Ramli dalam satu majlis menyambut ketibaan Wan Hashim di Hotel Grand Riverview (GRV) di sini baru-baru ini.

Wan Hashim, 72, berkata, eks­pe­disi kali ini mengambil masa 43 hari dan dinamakan ‘Kembara 3,000km Pak Wan - Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi)’ kerana beliau turut ditemani wakil media Kelantan, Shahuri Awang, 31.

Katanya, misinya kali ini mendapat sambutan luar biasa daripada masyarakat tempatan berbanding kayuhan solonya sebelum ini.

“Saya amat bersyukur di atas sokongan masyarakat di Malaysia mahupun di negara luar ke­rana memberi layanan yang sa­ngat baik kepada kami di dalam setiap persinggahan kami.

“Masalah utama yang dihadapi oleh kami adalah faktor cuaca yang tidak menentu, tetapi misi tetap diteruskan dengan penuh cekal malah kami berkayuh sejauh 70 hingga 100 kilometer sehari,” katanya.

Turut menyambut ketibaan mereka ialah Pengarah Tourism Malaysia Kelantan, Hafiz Hazin; Pengurus Besar Hotel GRV, Vincent Chua; Presiden Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi), Zailani Abd. Rahman serta Pengasas STY Sweetiey, Nur Baiti Yusof.

Sambutan untuk dua pe­ngayuh tersebut bermula di Dataran Kenaf Kubang Kerian di sini, sebelum diiringi kira-kira 100 rombongan berbasikal dan 10 buah kereta antik Volkswagen ke Hotel GRV.

Sementara itu, Shahuri yang merupakan jurufoto sambilan Bernama memberitahu, dia bangga kerana dapat menyertai kayuhan serta melihat kesungguhan Wan Hashim menjayakan ekspedisi biarpun usianya sudah mencecah 72 tahun.

“Ekspedisi ini merupakan peluang terbaik untuk saya melihat tempat orang serta menimba pengalaman. Saya juga berpeluang merakam gambar detik bersejarah ini sepanjang ekspedisi kali ini,” katanya.

Sebelum ini, Wan Hashim dalam kayuhan solonya telah memahat rekod dalam MBOR selepas berjaya mengelilingi Semenanjung pada 2014 sebelum mengelilingi, Selatan Thailand, Vietnam, Singapura dan Riau, Indonesia pada 2015.