Kali ini, beliau berjaya menamatkan kayuhan sejauh 3,000 km mengelilingi Semenanjung Malaysia, Singapura dan selatan Thailand sambil ditemani wakil media iaitu jurugambar sambilan Bernama, Shahuri Awang, 31.

Pengiktirafan MBOR iaitu ‘Pengayuh Basikal Tertua Mengelilingi Semenanjung Malaysia’ tersebut disampaikan wakil MBOR, Nurasyikin Ramli dalam satu majlis menyambut ketibaan mereka berdua di Hotel Grand Riverview (GRV), di sini hari ini.

Turut menyambut ketibaan mereka adalah Pengarah Tourism Malaysia Kelantan, Hafiz Hazin; Pengurus Besar Hotel GRV, Vincent Chua serta Presiden Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi), Zailani Abd. Rahman.

Wan Hashim yang mesra disapa Pak Wan dalam pada itu mengakui misinya kali ini mendapat sambutan luar biasa daripada masyarakat tempatan yang ditemuinya sepanjang perjalanan.

“Di mana sahaja kami singgah, penduduk tempatan memberi sokongan dan kata-kata semangat. Mereka melayan kami dengan baik sekali gus menguatkan semangat untuk kami menamatkan ekspedisi selama 43 hari ini,” katanya.

Selain mengelilingi Semenanjung Malaysia, Wan Hashim pernah menamatkan misi jelajah lima negara Asia Tenggara secara solo selama 49 hari iaitu jauh lebih awal daripada jangkaan asal tiga bulan.

Beliau melakukan kayuhan sejauh 5,319 kilometer menjelajah Vietnam, Kemboja, Thailand, Singapura, Riau Indonesia, dan Semenanjung Malaysia. - UTUSAN ONLINE