Tinjauan Bernama mendapati pengguna bebas melalui jalan Pos Tohoi, Pos Pasik dan Pos Bihai apabila tiada lagi sekatan baru dibina di laluan itu dan penduduk juga tidak lagi berkumpul di sekatan berkenaan.


Penghulu Pos Tohoi, Zainal Cali berkata, mereka yang membina sekatan itu sebelum ini kerana dihasut pihak tertentu walaupun tindakan tersebut menyusahkan banyak pihak termasuk Orang Asli yang tidak terbabit dengan bantahan itu.


Beliau berkata hanya segelintir sahaja Orang Asli yang terbabit dengan perkara itu dan mereka sudah sedar tindakan itu membazir masa dan menjejaskan kehidupan keluarga untuk mencari nafkah hidup. 


"Kita sendiri selama ini tidak setuju dengan pembinaan sekatan itu kerana ia boleh menyusahkan berikutan gangguan pemeriksaan ketika dalam perjalanan.

"Malah, kita lihat tidak adapun desakan menyelesaikan tanah adat kaum itu dapat diselesaikan sampai sekarang kerana tindakan itu bukan cara yang terbaik," katanya. 


Zainal mengakui semua penghulu Orang Asli tidak setuju dengan tindakan demikian sebab itu mereka tidak mahu campur tangan dalam segala desakan. 


"Kami minta jika ada lagi hasrat kumpulan itu untuk membina semula sekatan selepas ini tidak lagi berbuat demikian," katanya. 


Seorang penduduk Orang Asli, Angah Dolah, 51, menganggap langkah mereka yang berkumpul di tiga sekatan yang dibina sebelum ini sebagai membazir masa dan merugikan masa depan. 


Katanya, ini kerana kerajaan negeri sendiri pun tidak pernah memberi pembelaan terhadap segala tuntutan dan sudah beberapa sekatan dirobohkan. 


"Saya lebih awal lagi tidak mahu bersama mereka kerana berdepan banyak masalah dan menyusahkan diri sendiri serta keluarga," katanya. - BERNAMA