Pengerusi Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan, Mustafa Along berkata, sebaliknya mereka akan membina kembali halangan yang dibuat hampir enam bulan lalu.

Katanya, ketika ini mereka masih lagi berkumpul di kawasan sekatan dan tidak berganjak me­ngawal sekatan di Pos Tohoi, Pos Bihai dan Pos Pasik.

“Kami akan membina kembali halangan yang dirobohkan oleh lebih 50 lelaki yang berlagak samseng itu.

“Kami juga telah membuat lima laporan polis malam tadi selepas berasa terancam dengan kelakuan mereka dan mahu polis menyiasat perkara berkenaan. Kita akan membina halangan baharu hari ini,” katanya di sini hari ini.

Seorang penduduk Orang Asli, Aban Anjang, 90, berkata, mereka terkilan dengan pihak syarikat ladang durian tersebut yang tidak menghormati penduduk asal di kampung itu.

Katanya, pengusaha ladang itu juga dilihat bersikap tamak dan tidak menghormati jalan penyelesaian yang mahu dirunding Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, R. Sivarasa yang berkunjung ke kawasan ini Khamis lalu.

“Pihak pengusaha ladang sepatutnya menghentikan aktiviti mereka sementara waktu sebelum rundingan dan keputusan diadakan.

“Kami melihat mereka begitu rakus kerana bukan sahaja merosakkan kawasan hutan kami tetapi juga tiada nilai kemanusiaan,” katanya.

Semalam, masyarakat Orang Asli yang membuat sekatan di laluan balak Kampung Kaleg, Pos Tohoi di sini mendakwa halangan yang dibina mereka dirobohkan lebih 50 lelaki.

Ketika kejadian kira-kira pukul 6.30 petang itu, Mustafa bersama 50 lagi penduduk setempat sedang melakukan perbincangan di kawasan berkenaan.

Bagaimanapun, mereka terkejut apabila melihat sekumpulan lelaki yang menaiki kenderaan pacuan empat roda secara tiba-tiba memusnahkan halangan kayu yang dibuat dengan menggunakan gergaji berantai dan bergerak menuju ke ladang durian yang terletak di Pos Simpor.