Melihat kehidupan suku etnik berkenaan, mereka menjadikan kawasan hutan sebagai tempat mencari rezeki seperti kayu gaharu, rotan, akar kayu, ubat-ubatan herba dan kegiatan pemburuan.

Walaupun komuniti itu hidup tersisih dari kawasan bandar, namun kira-kira 13 buah rumah telah disediakan oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).

Bagaimanapun, mereka lebih suka untuk tinggal di kawasan bangsal dan pondok yang dibuat secara tradisional menggunakan kayu pokok hutan, daun cucuh dan daun nipah.

Seorang penduduk Orang Asli Batek, Daun Kepayam, 70, berkata, masyarakat di kawasan ini le­bih selesa tinggal di dalam pondok yang dibuat menggunakan tumbuhan hutan.

Katanya, kebanyakan penduduk tidak menyukai rumah yang disediakan oleh pihak kerajaan kerana agak panas berban­ding pondok mereka yang sejuk terutamanya pada waktu malam.

“Kami lebih suka tidur di atas lantai beralaskan buluh dan kayu sebagai tempat berbaring bersama ahli keluarga.

“Kami jarang keluar ke bandar, tetapi ada orang dari bandar datang memberi kami makanan dan juga pakaian terpakai,” katanya.

Salman Daun, 40, pula berkata, dia tinggal di kawasan Kuala Koh di sini sejak setahun lalu.

Katanya, sebelum ini, dia hi­dup secara berpindah randah apabila mencari makan dan tinggal di kawasan hutan dekat Jerantut, Pahang.

“Saya kembali ke kawasan ini selepas beberapa tahun tinggal di tempat lain. Saya mengambil masa selama tiga hari dengan berjalan kaki untuk sampai ke Kuala Koh.

“Pondok ini kami bina sendiri dan dapat disiapkan dalam masa kurang dua hari. Kami lebih suka berpindah randah untuk mencari sumber hutan bagi menampung kehidupan,” katanya.

Pikas Langsat, 55, pula berkata, mereka mencari wang dengan menjual hasil hutan seperti akar kayu dan pokok herba.

Katanya, duit yang diperolehi akan digunakan untuk membeli beras.

“Kami terpaksa keluar mencari sumber hutan di kawasan yang agak jauh kerana kawasan ini sudah terancam apabila berlaku penerokaan hutan untuk tanaman kelapa sawit,” katanya.