Kumpulan itu mendakwa sekatan yang dilakukan beberapa penduduk setempat dan kumpulan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Jaringan telah mengganggu ketenteraman awam dan ekonomi penduduk Orang Asli serta berbaur politik.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JKKKOA) Pos Tuel, Jamly Ahan berkata, sekatan baharu itu telah dilakukan sejak empat hari lalu secara se­rentak di tiga kawasan.

Katanya, mereka kesal dengan tindakan segelintir masyarakat Orang Asli yang bertindak tanpa persetujuan daripada penghulu, Pengerusi JKKKOA atau ketua komuniti setempat.

“Kami membuat laporan polis susulan sekatan yang telah dilakukan oleh kumpulan ini kerana kami nampak sepanjang sekatan ini dijalankan telah mengganggu ketenteraman orang awam kerana mereka yang berurusan setiap hari akan diganggu.

“Kumpulan itu berlagak se­perti polis apabila meminta kad pe­ngenalan, sedangkan yang membuat sekatan itu adalah orang awam,” katanya ketika ditemui.

Menurut Jamly, sekatan jalan itu telah dilakukan di jalan utama menuju ke Pos Pasik, Pos Tohoi dan Pos Bihai.

Katanya, masyarakat Orang Asli yang membuat sekatan harus memikirkan undang-undang negara.

“Tindakan Orang Asli terbabit dipercayai didalangi badan bukan kerajaan (NGO) yang boleh menjejaskan imej Orang Asli keseluruhannya,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi wakil Orang Asli Pos Tohoi, Zainal Chali, 46, berharap agar sekatan jalan itu dihentikan segera demi kebaikan bersama.

“Saya berharap saudara saya, Orang Asli Jaringan yang membuat perhimpunan secara beramai-ramai hendaklah bersurai.

“Tidak perlu lagi duduk di situ membuat kerja tidak berfaedah dan tidak menguntungkan sesiapa kerana nampaknya tenaga Orang Asli dipergunakan oleh pihak yang mempunyai kepen­tingan,” katanya.