Nur Hakimah Husin, 20, merupakan Penuntut Diploma Sains Matematik meraih Anugerah Pelajar Terbaik Kepemimpinan dan Pelajar Terbaik Akademik dalam bidang yang diceburinya serta meraih Anugerah Dekan untuk empat semester berturut-turut.

Katanya, kunci kejayaan adalah pengurusan masa yang konsisten sama ada dalam pelajaran dan persatuan.

“Kita perlu bijak membahagikan masa untuk belajar dan aktif dalam mana-mana sukan mahupun persatuan agar kita tidak ke­tinggalan dalam pelajaran.

“Walaupun saya agak sibuk men­jalani pelbagai aktiviti kepe­mimpinan namun ia tidak memenatkan saya, malah ianya membantu saya lebih fokus dalam pembelajaran,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Kecemerlangan Mahasiswa dan Pra Graduan Sesi September 2017-Januari 2018 di UiTM Kelantan, di sini baru-baru ini.

Pada majlis itu, Nur Hakimah menerima trofi; plak; sijil kecemerlangan akademik dan wang tunai RM500 yang disampaikan Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) negeri, Datuk Yahaya Mamat.

Yang turut hadir Rektor universiti tersebut, Tuan Mohd Rosli Tuan Hassan.

Nur Hakimah yang juga anak ke 11 daripada 12 beradik dari Dungun, Terengganu itu berkata, dia bakal menamatkan pengajian dalam bulan ini dan berhasrat melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah sarjana muda dalam bidang Peranca­ngan Bandar dan Wilayah.

“Saya amat gembira dan bersyukur dengan anugerah ini dan ia menguatkan semangat saya untuk terus mengecapi kejayaan pada masa hadapan,” ujarnya.