Gadis berusia 15 tahun itu yang tinggal di Kampung Lembaga di sini bukan sahaja dinafikan hak sebagai warganegara, malah sering ‘bermasalah’ apabila berdepan dengan pihak berkuasa kerana disalah anggap sebagai pendatang asing.

Menurut ibu saudaranya, Wan Norhayati Wan Ali, 34, hidup gadis itu memang malang kerana dia ‘dibuang’ kedua ibu bapa selepas ditinggalkan di hadapan rumah neneknya sejak berumur empat bulan.

“Ketika Noor Atina masih bayi, ibunya yang juga adik ipar saya telah meninggalkannya kepada ibu saya, Siti Mariam Awang, 63, dengan meletakkan bayinya itu di atas tangga rumah

“Menurut ibu kandungnya, dia sudah tidak sanggup menjaga Noor Atina dan hanya meninggalkan kad rawatan hospital. Selepas itu dia telah menghilangkan diri sehingga kini,” katanya.

Wan Norhayati berkata, kejadian itu menyebabkan mereka gagal mendapatkan sijil kelahiran untuk Noor Atina sehingga kini.

Katanya, sebelum ini dia pernah merujuk perkara itu kepada pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), namun dia dinasihatkan supaya mencari jururawat atau doktor yang menyambut kelahiran Atina untuk pengesahan.

“Saya buntu apabila masih tidak dapat mencari doktor atau jururawat yang menyambut Noor Atina yang dilahirkan di sebuah hospital di Ipoh, Perak pada 23 Julai 2004.

“Pada kad rawatan tersebut hanya terdapat tandatangan dan tiada nama ataupun cop menyukarkan kami untuk mencari,” katanya ketika ditemui pemberita di kediaman ibunya di Kampung Lembaga di sini hari ini

Sementara itu, Siti Mariam berkata, dia berharap agar pihak berkuasa membantu menyelesaikan masalah cucunya itu kerana khuatir dengan masa depan Atina selepas dia meninggal dunia nanti.

“Saya sudah berusia dan berharap sebelum menutup mata ini dapatlah melihat Noor Atina mempunyai kad pengenalan diri.

“Jika mempunyai kad pengenalan, Atina boleh hidup berdikari dan mendapat bantuan sewajarnya termasuklah ke sekolah serta bantuan daripada JKM,” katanya. - UTUSAN ONLINE