Mat Hussin Daud, 60, tidak pernah berputus asa berbudi kepada tanah walaupun tanamannya itu pernah ditenggelami banjir besar pada penghujung tahun 2014.

Dia kembali bangkit meng­usa­hakan 100 pokok nangka madu di atas tanah seluas 0.8 hektar.

Dalam tempoh tiga tahun, pokok nangka madu tersebut berjaya mengeluarkan hasil dan dikomersialkan.

Menurut Mat Hussin, selepas bersara sebagai penjawat awam di Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar), dia bersyukur apabila dapat menjana pendapatan sendiri hasil daripada tanaman nangka madu.

Katanya, selain berbuah se­panjang masa serta mengeluarkan hasil cepat, tanaman nangka madu mudah diusahakan dan dijaga.

“Ketika ini semua pokok nang­ka madu saya sudah berbuah dan mengeluarkan hasil 500 kilogram setiap bulan.

“Bagi mengekalkan proses kesuburan pokok nangka madu, saya telah mendapatkan khidmat nasihat daripada pihak Peladang dan Jabatan Pertanian,” katanya di sini hari ini.

Bagaimanapun, Mat Husin berharap agar agensi terlibat dapat menyalurkan bantuan se­perti baja dan menyediakan saluran air bagi memastikan pokok terus subur serta tidak diserang penyakit.

Sementara itu, Penolong Pegawai Pertanian Jabatan Per­­tanian Gua Musang, Alias Muhammad berkata, tanaman nang­ka madu sememangnya berpotensi untuk dikomersialkan dan memberi pulangan lumayan.

Katanya, bagaimanapun sehingga kini hanya terdapat 50 pekebun di daerah ini mengusahakan nangka madu secara kecil-kecilan.