Ketua Pemuda Pas Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari berkata, malah beliau menafikan dakwaan sesetengah pihak kononnya Pas akan menyokong UMNO dalam pilihan raya akan datang.

"Dakwaan seperti itu sangatlah tersasar kerana bagaimana pula pelbagai pujian daripada pemimpin parti-parti yang berbeza sebelum ini? Contohnya, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz pernah memuji Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang dikatakan telah berjaya menjadikan negeri itu sebagai destinasi pelancongan.

"Bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga pernah memuji Najib dalam isu Gaza serta isu MH17. Justeru, marilah kita beranggapan bahawa semua pihak yang dipuji sebenarnya berada dalam satu kelompok dengan pihak yang memuji," katanya dalam kenyataan di Facebook di sini hari ini.

Dalam masa sama, Ahmad Fadhli secara sinis berkata, Najib juga boleh menjadi pembangkang yang baik jika diberikan peluang.

Najib dalam perutusan tahun baharu baru-baru ini, menyelar kelakuan pihak pembangkang dan membandingkan golongan tersebut dengan Abdul Hadi yang disifatkan sebagai 'cara yang lebih baik'.

Malah, Perdana Menteri juga mengaku bahawa pembangkang mempunyai peranan untuk dimainkan tetapi mereka tidak seharusnya membangkang atas tujuan membangkang semata-mata.

Pas pula baru-baru ini, memuji kelantangan Najib dalam menyuarakan pendirian berkenaan isu Baitulmuqaddis.

Habis.