Hal ini kerana, setiap kali musim perayaan, ratusan ribu perantau yang berada di luar Kelantan akan pulang ke kampung menggunakan jalan tersebut.

Seorang perantau yang tinggal di Kuala Lumpur, Mohd. Adam Abdullah, 32, berkata, jalan sedia ada sudah tidak mampu lagi menampung kenderaan yang bertambah setiap tahun.

Katanya, setiap kali musim perayaan, pasti akan berlaku kesesakan sehingga mengambil masa lebih 12 jam untuk sampai ke kampung berbanding hari biasa hanya enam jam.

“Kami selaku anak Kelantan berharap kerajaan Pusat yang baharu dipilih rakyat dapat meneruskan projek naik taraf jalan ini.

“Saya rasa tidak ada masalah bagi kerajaan PH meneruskan cadangan menaik taraf jalan itu demi kemudahan untuk rakyat,” katanya.

Mohd. Adam ditemui pemberi­ta ketika Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Musim Pera­yaan Aidilfitri di tempat Rehat dan Rawat (R&R) Rantau Manis, di sini hari ini.

Sementara itu, Nur Aini Gha­zali, 40, pula berkata, laluan jalan Gua Musang-Kuala Krai merupakan perhubungan penting pengguna yang bukan sahaja musim perayaan, tetapi juga hari-hari biasa.

Katanya, kerajaan PH perlu menaikan taraf jalan itu kepada empat lorong seperti yang dicadang kerajaan dahulu untuk kese­lesaan pengguna.

“Kita berharap Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dapat mempertimbangkan perkara itu demi keselesaan dan kese­lamatan pengguna,” katanya.

Kempen keselamatan Jalan Raya anjuran Majlis Keselamatan Jalan Raya Negeri Kelantan (MKJR) itu dirasmikan Ketua Jajahan Gua Musang, Tuan Zainal Abidin Tuan Yusoff.

Dalam majlis itu, sebanyak 150 risalah keselamatan jalan raya bersama kuih raya diagihkan kepada pengguna jalan raya yang mula pulang kampung untuk menyambut Aidilfitri.