Ayahnya, Mohd Izahir Kassim, 49, berkata, doktor sudah mula mengurangkan dos ubat pelali dan anaknya menunjukkan sedikit pergerakan pada tangan dan kaki biarpun masih lagi koma di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di sini.

Mohd Izahir berkata, doktor bercadang memasukkan skru atau alat untuk mengikat tulang belakang anaknya yang patah pada dua tempat.

“Kos alat ini adalah RM21,783 dan perlu dibayar sebelum pembedahan dijalankan.

“Saya bersyukur kerana pihak pengurusan Maahad Tahfiz Al-Hashimi menyatakan kesanggupan untuk menanggung kos alatan yang akan mengikat tulang belakang anak saya, saya sendiri tidak akan mampu membayarnya.

“Prosedur ini penting dan perlu dilakukan secepat mungkin jika tidak risiko lumpuh adalah tinggi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghulurkan sumbangan ke akaun Mohd Izahir Kassim

1121-4736-2078 (Maybank).

Muhammad Faiz Hafizuddin adalah salah seorang daripada 14 warga Maahad Tahfiz Al-Hashimi yang terlibat dalam kemalangan van terbabas yang di Kampung Telekong, Kuala Krai sehingga meragut tujuh nyawa baru-baru ini.

Sementara itu, seorang lagi mangsa, Muhammad Nur Haikal Pauzi, 14, yang sedang dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) di sini sudahpun dipindahkan ke wad biasa selepas menjalani pembedahan pada Ahad lalu.

Menurut ibunya, Zaniha Che Hassan, 47, perkembangan kesihatan Muhammad Nur Haikal yang patah paha kanan dan lengan kiri semakin baik dan dia dijangka keluar dari hospital dalam masa sehari dua lagi.

“Doktor ingin memantau keadaan paru-parunya dan jika tiada masalah, kami boleh bawa dia pulang ke rumah tidak lama lagi,” katanya. - UTUSAN ONLINE