Kejayaan itu yang membuktikan keupayaan institusi tahfiz itu dalam menawarkan pendidikan seimbang kepada para pelajar iaitu dalam pengajian agama dan pendidikan arus perdana.

Penyelia MTDN, Che Abdul Razak Che Mahmood berkata, seramai 28 pelajar MDTN telah menduduki peperiksaan SMU dan kesemuanya mencapai keputusan cemerlang iaitu pangkat Mumtaz (9 orang), Jayyid Jiddan (17 orang) dan Jayyid (2 orang).

“Kelulusan 100 peratus bagi peperiksaan SMU meletakkan MTDN sebagai antara maahad tahfiz terbaik kelantan kategori bukan di bawah penyeliaan Yayasan Islam Kelantan (YIK).

“Satu majlis khusus telah diadakan untuk meraikan pelajar-pelajar cemerlang SMU ini dan mereka turut diberikan sumba­ngan secara bulanan sebagai insentif kecemerlangan,” katanya.Sementara itu, Che Abdul Razak berkata, pencapaian PT3 pula menyaksikan 25 pelajar MTDN memperoleh kepujian antara 5A hingga 11A.

Menurutnya, pengurusan maahad itu menghargai kepercayaan ibu bapa yang menjadikan MTDN sebagai pilihan pertama untuk menempatkan anak-anak mereka meneruskan pembelajaran bagi kepentingan semasa dan juga ukhrawi.

Sementara itu, Pengerusi MTDN, Hanapi Ali berkata, kecemerlangan yang diperoleh adalah titik permulaan kepada warga pelajar maahad ini untuk mening­katkan kecemerlangan de­­ngan rekod baru sepanjang tahun 2018.

“Saya amat berharap MTDN akan terus berjaya melahirkan generasi pelajar beriman, bertakwa serta menghafaz 30 juzuk al-Quran dengan sempurna,” katanya.