Ketua Penolong Pengarah Perhubungan Awam MPKB-BRI, Azman Mohd. Daham berkata, tiket berkenaan yang dijual dalam bentuk buku boleh digunakan di semua petak letak kereta dan boleh didapati pada harga RM6 dan RM8.

“Tiket ini perlu digores di lima bahagian iaitu tahun, bulan, hari, jam dan minit pada waktu penggunaan petak letak kereta dan perlu dipamer di atas papan pemuka kereta.

“Tiket ini boleh dibeli daripada semua pegawai penguat kuasa meter letak kereta dan juga ejen dilantik MPKB-BRI. Tiket juga boleh dibeli di pejabat letak kereta MPKB-BRI di Padang Perdana, kaunter MPKB-BRI dan UTC KB Mall,” katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.

Menurut Azman, tiket berkenaan boleh terbatal dan pengguna boleh dikompaun jika didapati rosak, silap digores atau diubah suai.

“Mereka boleh dikenakana kompaun sebagaimana kesalahan biasa di bawah peraturan letak kereta iaitu RM10 jika dibayar dalam tempoh 14 hari,” katanya. - UTUSAN ONLINE