Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin berkata, pihaknya akan memangil kedua-dua pihak bagi menyelesaikan isu itu secara aman, termasuk status sebenar lokasi yang menjadi pertikaian tersebut.

“Buat masa sekarang, pihak kami akan siasat isu ini sama ada lokasi tersebut sebenarnya berada di atas rizab jalan atau dimiliki oleh pemaju terbabit.

“Kita minta agar kedua-dua pihak bertenang seketika kerana salah faham ini akan diselesaikan secara baik,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Hari Kesihatan Negeri Kelantan di Dewan Jubli Perak MPKB-BRI di sini semalam.

Yang turut hadir, Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Zaini Hussin.

Semalam Utusan Malaysia melaporkan seramai 60 peniaga di sepanjang Jalan Bulatan Tesco ke Aeon Mall, di sini berkumpul secara aman membantah tindakan pemaju Lembah Sireh menghalang mereka berniaga di kawasan tersebut.

Para peniaga tersebut turut mempersoalkan tindakan pemaju itu kerana mereka telah mendapat lesen dan kelulusan berniaga daripada MPKB-BRI pada 28 Februari lalu.

Izani berkata, berkenaan kelulusan lesen berniaga itu, isu timbul kerana berlaku salah faham mengenai lokasi sebenar perniagaan.

“Kita memang meluluskan peniaga menjalankan perniagaan Februari lalu, tapi bukan di lokasi itu tetapi di kawasan berdekatan yang juga tanah milik penduduk di situ.

“Kita beranggapan mungkin peniaga memilih lokasi berkenaan kerana faktor kawasan yang strategik bagi menjalankan perniagaan,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE