Mariam Jusoh, 95, atau mesra dengan panggilan Mok Ye berkata, pengalaman terburuk baginya adalah ketika bah kuning pada tahun 2014 yang turut memusnahkan rumahnya.

Bagaimanapun, katanya, walaupun sudah mendapat kediaman baharu sumbangan kerajaan pada 2016, namun rumahnya tetap ditenggelami air sekiranya hujan turun berterusan.

“Sejak tinggal di kampung ini, penduduk yang tinggal di kawasan rendah kerap berpindah ke kawasan bukit setiap kali musim tengkujuh.

“Mereka tidak mahu ke pusat pemindahan kerana bimbang barangan rumah dicuri dan pusat pemindahan agak jauh,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurutnya, air Sungai Galas yang naik secara mendadak tiga hari lalu menyebabkan penduduk tidak sempat menyelamatkan barangan keperluan.

“Saya sudah lali dengan banjir kerana kawasan perkampungannya terletak di kawasan rendah serta berhampiran Sungai Galas.

“Namun, banjir tahun 2014 paling menakutkan apabila kami tidak menjangka banjir seteruk itu dan telah menenggelamkan 90 peratus daratan Kampung Limau Kasturi,” katanya yang mempunyai 5 orang anak dan lebih 15 cucu.