Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JKKKOA) Pos Hendrop, Kamal Rami berkata, kolam itu dilihat semakin terbiar sejak lima tahun kebelakangan ini termasuk persekitaran yang kotor dengan sampah dan dipenuhi semak.

Katanya, dengan kepanasan suhu air 72 darjah Celsius, kawasan itu bukan sahaja menjadi tempat rawatan mereka yang mengalami masalah penyakit kulit, malah mempunyai keindahan alam semulajadi.

“Kolam air panas ini agak suram kerana tidak ramai yang berkunjung ke sini disebabkan persekitarannya yang semakin terbiar.

“Kami juga berharap agar pihak Majlis Daerah Gua Musang (MDGM) membina premis perniagaan dan kemudahan infrastruktur di kawasan ini bagi menarik lebih ramai pengunjung.

“Sekiranya kemudahan itu disediakan, kami yakin dapat meran­cakkan ekonomi penduduk Orang Asli di kawasan sekitar yang dapat menjual hasil kraftangan dan tumbuhan herba mereka,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Mura Angah, 41, berkata, kawasan itu masih belum dikenali biarpun air kolam itu merupakan paling panas di Kelantan.

“Kami berharap MDGM menyediakan kemudahan asas secukupnya bagi menarik lebih ramai pengunjung.

“Kawasan ini perlu kerap di­bersihkan dan diselenggara untuk mengelak daripada airnya berbau busuk dan kawasannya kotor dengan sampah sarap.

“Melalui pemantauan kami, sekiranya tidak dibersihkan pasti akan mengundang bahaya pe­nyakit berjangkit seperti malaria dan denggi kepada penduduk Orang Asli di kawasan sekitar,” katanya.