Yang Dipertua DPMMNK, Mohd. Ali Amin Ab. Latif, misi dagang tersebut yang mendapat kerjasama kerajaan Thailand membolehkan pendedahan secara langsung kepada kemajuan teknologi pertanian serta agro pelancongan di negara itu.

Mohd Ali Amin berkata, misi yang disertai 50 wakil agensi kerajaan negeri dan persekutuan serta usahawan tempatan turut mencari peluang kemasukan pelaburan ke sini melalui rundingan yang akan dijalankan khususnya di Narathiwat dan Bangkok.

“Kita juga bakal menyaksikan dua memorandum persefahaman (MoU) bakal ditandatangani iaitu satunya antara syarikat usahawan kedua-dua negara dan satu lagi mengenai kerjasama lebih erat antara dewan perniagaan.

“MoU yang akan ditandatangani dengan Dewan Perniagaan Muslim Thailand di Bangkok ini akan memberi peluang kepada usahawan menggunakan kemudahan dewan di kedua-dua negara dalam menjalankan perniagaan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelepasan Misi Dagang Jelajah Dewan80 Road To Aran di pekarangan Hotel Jewels di sini hari ini.

Majlis itu telah disempurnakan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.

Sementara itu, Mohd Ali Amin berkata, antara agensi kerajaan yang menyertai misi itu adalah Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK); Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA); Universiti Malaysia Kelantan (UMK); Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN); Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) dan Tourism Malaysia.

Beliau berkata, konvoi jalan darat ini melibatkan perjalanan sejauh 3,500 kilometer (km) pergi dan balik selama 11 hari bermula dari kawasan industri di selatan Thailand hingga ke Aran yang terletak di utara negara itu.

“Aran adalah satu kawasan perdagangan bebas istimewa yang merangkumi tiga negara iaitu Thailand, Kemboja dan Vietnam selain mempunyai kilang kenaf, jadi kita mahu lihat perkembangan di situ,” katanya. UTUSAN ONLINE